Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 7 Oktober 2012

Elakkan bermusuh dengan PESAING



Jangan kira siapa pun, sama ada kita menyukainya ataupun tidak, kita yang melakukan jualan perlu berkawan dan bersahabat dengan siapa pun juga. Jangan sama sekali bergaduh dan terlalu cepat membenci seseorang hanya kerana orang yang kita kenali tersebut adalah seorang yang bersaing dengan kita melakukan perkara yang sama menjual produk seperti mana yang kita lakukan. Hanya kerana persaingan yang bersaing di pasaran yang sama terus menerus kita memusuhi dan menjauhkan diri kita kepadanya.

Tolong jangan jadikan diri kita terlalu ekstrem dan syok sendiri bertepuk di dada merasakan produk dan jualan kita adalah yang paling baik di pasaran. Ini akan menyebabkan kita akan tergolong di kalangan orang-orang yang risau dan gentar merasakan pesaing yang ada menyusahkan dan menyempitkan lagi pasaran yang sedia ada. Elakkan ia sama sekali. Lagi kita menjauhkan diri dari pesaing lagi kita tidak akan tahu apa yang sebenarnya berlaku dan terjadi di sekitar keadaan pasaran yang kita terokai selama ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Tidak beriman seseorang di antara mu hingga kamu mencintainya seperti kamu mencintai diri mu sendiri” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim). Inilah yang patut kita lakukan. Sama ada kawan ataupun lawan kena bersahabat juga walaupun kadang-kadang amat berat untuk kita lakukan. Terdapat banyak faedahnya. Untung semula kepada kita jika kita tetap dan masih berhubung terutamanya dengan pesaing kita tanpa kita sedari ataupun tidak. Mungkin perkara-perkara berikut boleh kita dapatinya dengan mudah dan senang dari pesaing-pesaing kita iaitu

i.                     Mudah mengetahui strateginya

Bagaimana mereka lakukan. Apa yang mereka buat dan tindakan apa yang mereka amalkan pasti kita akan dapat tahu kaedah dan caranya. Mengetahui  dengan cara yang agak santai dan bersahaja lebih mudah dari terus ingin mengetahui dari mereka tanpa adanya jalinan persahabatan dan kepercayaan yang dijalin terlebih dahulu. Lagi kita rapat berkawan dengan mereka lebih mudah bagi kita mendapatkan segala strategi dan kaedah yang mereka guna pakaikan. Itulah kelebihannya jika kita dapat berkawan dengan mereka.

ii.                   Maklumat lebih telus

Bila dah berkawan, orang nak menipu kita pun mereka tidak akan sampai hati. Nak sorok maklumat yang kita kehendaki pasti lebih mudah lagi untuk kita peroleh. Tak perlu nak bagi rasuah ataupun umpan mereka dengan wang ringgit. Cukup sekadar bersahabat baik sahaja. Lagi lama mereka mengenali diri kita lagi mereka berkeyakinan untuk memberikan apa juga maklumat yang ingin kita mahukan. Yang penting segala maklumat yang diterima sudah pasti ia nya telus dan betul tanpa ada sebarang pembohongan dan tidak benarnya sama sekali.

iii.                  Tahu kekuatan dan kelemahannya

Lebih mudah ketahui di mana kekuatan dan kelemahan mereka. Bersaing dengan pesaing kita perlu tahu apa kelemahan dan kekuatan mereka sebagai menghadapi sebarang halangan dan tentangan yang bakal kita terima daripada mereka nanti apabila kita di dalam pasaran yang sama. Bila kita telah ketahui, segala persiapan yang rapi dan teratur sudah pasti akan dapat kita lakukan dengan sebaik yang mungkin. Tidak perlu menggelabah dan risau asalkan saja kita berkawan dengan mereka merapatkan lagi ukhuwah yang ada sudah tentu segala yang ada pada mereka tetap akan kita ketahui juga dengan mudah dan senangnya.

Kerana itu kita amat dilarang memburuk-burukkan pesaing di hadapan prospek/pelanggan yang ditemui. Apabila kita lakukan juga bukan setakat prospek/pelanggan yang kita temui tidak akan menghormati kita tetapi juga pesaing yang ada di pasaran juga sudah pasti turut sama tidak menghormati kehadiran kita di pasaran. Berkawan dan bersahabatlah dengan mereka seperti seorang perisik yang merisik tanpa mereka sedari tentang apa-apa juga maklumat yang kita perlukan dari mereka dengan cara baik dan halus. Orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa. Ini lah yang perlu kita amalkan. Berbuat baik dengan siapa pun juga tidak kita orang yang kita temui tersebut adalah prospek/pelanggan mahupun pesaing yang sama-sama bersaing dengan kita. 

Firman Allah bermaksud “Wahai umat manusia sesungguhnya Kami tela menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsa). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan Nya (akan keadaan dan amalan kamu)” (Surah Al-Hujurat Ayat 13).


Read more >>

Sabtu, 6 Oktober 2012

Alami Dahulu Baru Boleh Tahu



Terjadi pada zaman Napolean Bonaparte, seorang Jeneral Perang dan pemerintah Negara Perancis suatu masa dahulu. Ketika Napolean Bonaparte berjalan-jalan bersendirian tanpa ditemani oleh ahli pasukan tenteranya tiba-tiba dia bertembung dengan pasukan tentera Rusia, musuh seteru utamanya ketika itu. Melihatkan jumlah tentera musuh yang ramai lalu Napolean Bonaparte terus melarikan diri mencari tempat persembunyian. Kebetulan ia bertemu dengan seorang lelaki tua memohon bantuan dan pertolongan darinya. Tanpa berlengah masa lelaki tua tersebut menyuruh Napolean Bonaparte bersembunyi di pondok tempat beliau menyimpan jerami di dalamnya. Tanpa berlengah lagi Napolean Bonaparte terus bersembunyi di dalamnya jerami tersebut.

Apabila pasukan musuh tiba di kawasan tersebut untuk mencari Napolean Bonaparte, mereka telah menemui lelaki tua tersebut. walaupun lelaki tua itu dalam ketakutan namun lelaki tua tersebut tidak memberitahu di mana Napolean Bonaparte berada tapi malangnya pembohongan beliau dapat dikesan oleh tentera musuh kerana menyedari tindakan lelaki tua tersebut asyik menjeling matanya ke arah pondok yang tersimpan jerami di dalamnya.

Menyedari tindakan lelaki tua tersebut tanpa berlengah masa lagi tentera musuh dengan kekuatan yang ada mengarahkan tentera-tenteranya menyusuk bonet di senapang mereka ke arah jerami tersebut di sekelilingnya tanpa adanya satu ruang pun yang tertinggal. Merasakan tiada kedengaran sesiapapun yang menjerit dan tompokan darah didapati lalu tentera pihak musuh tersebut pun beredar dari situ begitu sahaja dengan perasaan hampa.

Setelah Napolean Bonaparte memastikan keselamatannya terjamin, Napolean Bonaparte pun keluar dari tempat persembunyiannya dalam keadaan basah bajunya berpeluh. Tidak lama kemudian barulah datang sekumpulan tentera Perancis menyelamatkan beliau. Orang tua yang membantunya tadi agak terkejut dengan kehadiran Napolean Bonaparte tanpa adanya sebarang kecederaan yang dialaminya lalu bertanya kepada Jeneral tersebut bagaimana perasaannya ketika kejadian tersebut.

Napolean Bonaparte tidak menjawab pertanyaan orang tua tersebut tetapi hanya memerintahkan tentera yang ada untuk menangkap orang tersebut lalu diikat dan ditutup matanya dengan segera sebagai hukuman kepadanya kerana bersalah memberitahu kepada pihak musuh di mana tempat beliau bersembunyi. Orang tua tersebut di putuskan akan menerima hukuman mati di atas kesalahannya  tersebut.

Orang tua tersebut begitu terperanjat dan takut sama sekali kerana beliau akan mati tidak lama lagi di hadapan penembak tentera Napolean Bonaparte. Puas orang tua tersebut merayu dan memohon ke maaf an dan merasa kesal akan apa yang terjadi. Namun Napolean Bonaparte tidak menghiraukannya lalu mengarahkan 10 orang tentera bersiap sedia untuk melakukan tembakan ke atas pesalah tersebut. Orang tua yang diikat dan ditutup matanya hanya mampu mendengar sahaja akan apa yang berlaku. Tubuhnya menggeletar ketakutan, terasa seolah-olah hilang berat badannya, tiada kaki untuk berdiri, merasa seram sejuk dan gementar yang amat sangat. 
 
Apabila arahan tembak diberikan sendiri oleh Napolean Bonaparte, kedengaran olehnya bidikkan bunyi senapang tersebut, ia terduduk lemas, namun masih mampu merasakan denyut jantung dan nafasnya yang ia masih lagi hidup. Terasa seluarnya begitu basah disebabkan ketakutannya sebentar tadi walaupun beliau akhirnya menyedari sebenarnya beliau masih hidup dan bernyawa lagi.

Napolean Bonaparte menemui semula orang tua tersebut menanyakan apa yang beliau rasakan. Kerana itulah Napolean Bonaparte tidak menjawabnya tadi pertanyaan orang tua tersebut hanya kerana cukup sukar baginya untuk menceritakannya. Untuk mengetahui apa yang telah beliau lalui pengalaman tersebut bermakna orang tua tersebut terpaksa merasai sama akan apa yang telah beliau tempuhi tadi. Kini barulah orang tua tersebut faham dan mengerti kenapa beliau diperlakukan sedemikian rupa.

Ini adalah satu kisah yang perlu dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita. Bagaimana dalam kita melakukan jualan mencapai kejayaan yang diingini perlu menempuh tindakan dan gerak kerja yang dilakukan sendiri melalui pengalaman yang dihadapi sendiri juga. Memang menyeronokkan apabila mendengar pengalaman dari orang yang berjaya melakukannya tapi keseronokan tersebut bukan setakat mendengarnya sahaja tapi perlu ditempuhi juga. Pengalaman orang lain tidak semestinya sama dengan pengalaman yang kita tempuh, mungkin ada kelainannya masing-masing. Yang penting kena berani untuk menempuhi walau apa pun yang terjadi dan berlaku.

Memang menyeronokkan apabila kita membaca cerita-cerita dan perkhabaran yang menyeronokkan terjadi kepada orang yang berjaya melaluinya tapi alangkah lebih baiknya kalau kita sendiri yang dapat merasakan betapa sukar dan susahnya kita tempuhi terlebih dahulu untuk dijadikan pengalaman terbaik kita mencapai kejayaan seperti orang lain yang telah melaluinya. Rasakan sendiri, tempuhinya dan tambah pengalaman yang ada mencapai apa yang kita mahukan. Tanpa kita sendiri tidak melakukannya dan merasai apa yang orang lain lalui juga sampai bila-bila kita akan gagal tidak dapat menandingi orang yang telah berjaya melakukannya.

Read more >>

Jumaat, 5 Oktober 2012

Kena Ada Beraninya



Talhah bin Ubaidillah mula memeluk agama Islam semasa berumur 18 tahun dan merupakan salah seorang dari 10 orang sahabat Rasulullah yang di janjikan syurga kepadanya. Antara sifat Talhah di atas keberaniannya yang terserlah semasa terjadinya peperangan Uhud. Di waktu golongan Quraisy yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid menyerang balas secara mengejut ke atas tentera-tentera Islam, Rasulullah ketika itu mengalami luka dan cedera. Talhah yang berada berdekatan dengan Rasulullah merupakan orang yang pertama dengan segera pergi melindungi dirinya sendiri sebagai perisai pada badannya sendiri melindungi Rasulullah. Pihak Quraisy tanpa belas kasihan dan memberi peluang untuk membunuh Rasulullah tidak berpeluang langsung melakukannya disebabkan sikap berani Talhah yang bersedia menerima sehingga 70 kesan tikaman pedang, tombak dan anak panah. Jari-jari tangan Talhah juga putus begitu sahaja demi masih mempertahankan Rasulullah.

Begitulah pengorbanan dan keberanian yang telah ditunjukkan oleh Talhah bin Ubaidillah sendiri terhadap Rasulullah tanpa berbelah bagi. Baginya tiada apa yang harus ditakuti asalkan sahaja pegangannya dan kepercayaannya kepada Rasulullah dipertahankan dengan sebaik yang mungkin dan termampu. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Siapa yang ingin melihat seorang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah kepada Talhah bin Ubaidillah” (Hadis Riwayat oleh Tirmizi)

Melakukan jualan kena ada keberaniannya. Berani untuk bertemu dengan prospek/pelanggan dan berani untuk mengatakan apa yang dijual adalah benar sebenar-benarnya. Pertahankan apa yang diperkatakan dan tidak berubah sama sekali pendiriannya walaupun bangkangan dan penolakan jualan terjadi. Inilah sikap yang perlu ada pada semua orang yang melakukan jualan. Tidak gentar sama sekali dengan sesiapapun yang ditemui. Asalkan prospek/pelanggan yang ditemui adalah yang sasaran yang diutamakan walaupun mungkin pelbagai bangkangan apatah lagi bantahan jika ada namun keberanian kita sudah pasti akan mengatasi segala-galanya. 

Selagi tiada unsur-unsur penipuan dan mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka, tidak perlu dirisaukan kerana niat utama kita adalah untuk membantu dan menolong bagi menunjukkan produk yang kita tawarkan adalah cukup relevan dan dapat menyelesaikan permasalahan yang mereka tanggung selama ini. Berani kerana benar dan takut kerana bersalah. Teruskan usaha teruskan perjuangan dan berani menghadapi apa juga cabaran, dugaan dan masalah yang timbul tidak kira di mana juga kita berada.

Sayidina Ali ra pernah mengatakan Janganlah engkau mengatakan sesuatu yang tidak diketahui oleh mu. Bahkan janganlah pula engkau mengatakan segala sesuatu yang engkau ketahui, karena Allah SWT telah mewajibkan kepada seluruh anggota tubuh mu agar menjadi saksi kelak di hari Kiamat”. ( Kitab Nahjul-Balaghah, hikmah ke-382).

Read more >>

Khamis, 4 Oktober 2012

Prihatin di perlukan dalam Tim Jualan



Dalam tim jualan, kerjasama dan keserasian amat diperlukan. Elakkan dari mementingkan diri sendiri, penguasaan secara individu dan tamak haloba mengetepikan orang lain. Bertugas dalam satu tim jualan kerjasama, perhubungan dan komunikasi yang berkesan amat  perlukan sama sekali. Tidak perlu mendabik dada mengatakan tugasan seorang sahaja yang melakukan jualan tapi kena fahami tugasan semua orang melakukan jualan mengikut amanah yang diberikan demi mencapai sasaran yang diperlukan oleh pihak yang berkehendakkan (pihak pengurusan).

Di sinilah tugasan ketua tim jualan dalam memastikan tim jualannya berjaya mencapai apa juga sasaran yang diberikan. Ketua atau pengurus yang dilantik kena tahu apa yang perlu dilakukan, apa strateginya dan bagaimana mendapatkan pelanggan. Tanpa ada pengetahuan dan pengalaman yang baik dan mencukupi pasti amat sukar dan payah untuk memimpin pasukannya itu. 


Allah SWT berfirman bermaksud “Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya” (Surah Al-Mukminum Ayat 61).

Terdapat beberapa tindakan dirasakan amat perlu untuk kita melakukannya dengan baik dan secara konsisten agar setiap tim jualan yang ada pasti akan merasakan sentiasa bersemangat dan bermotivasi tinggi melakukan jualan serta berkeadaan harmoni sesama ahli tim jualan. Antara tindakan-tindakan tersebut adalah

i.                     Berikan penghargaan

Orang yang melakukan jualan setiap masa sememangnya suka dipuji dan diberi penghargaan selalu. Bukan setakat perhatian yang sewajarnya perlu dilakukan tetapi juga sentiasa berikan dan ucapkan terima kasih kepada mereka. Tidak jatuh pun maruah kalau diberikan. Teruskan secara konsisten kepada mereka yang berjaya melakukan tugasan jualan mencapai sasaran dan yang taat sentiasa melakukan apa juga yang diminta untuk melakukannya tanpa gagal dan membantah.

ii.                   Fahamkan misi sebenar

Mudah lupa? Mungkin tidak jika peringatan diberi selalu tentang kepentingan dan mustahaknya mencapai sasaran yang diperlukan. Itulah matlamat utama. Kalau tiada sasaran, apa sebenarnya tujuan kita melakukan jualan? Hanya suka-suka? Buat cukup syarat apa yang diperlukan? Melepaskan batuk di tangga sahaja? Itu semuanya perlukan kesedaran yang tinggi dan fahami tugasan sebenar melakukan jualan. Bukan paksaan tapi kesanggupan kita untuk melakukannya pada tahap yang paling terbaik pernah kita lakukan dari masa ke semasa. Itulah perjuangan dalam melakukan jualan. Sentiasa bersedia walaupun angin melanda ribut taufan menjelma sekalipun.

iii.                  Kepimpinan melalui teladan

Sebagai orang yang memimpin tunjukkan teladan yang terbaik. Sekali skala kena turun padang juga untuk melakukan jualan bersama dengan tim jualan. Bila si ketuanya nampak bersungguh secara automatiknya ahli pasukan pasti akan bersungguh melakukannya juga. Jangan pandai mengarah sahaja tanpa mengetahui apa masalah yang dihadapinya dikenal pasti untuk cuba diselesaikan secara bersama dengan baik sama sekali. Beri dorongan dan semangat selalu agar apa yang dilakukan memberikan kegembiraan buat semua ahli dalam kumpulan jualan tersebut.

iv.                 Tahu akan apa yang dilakukan

Bincangkan dan aturkan. Lakukan penyeliaan yang terbaik agar apa yang mereka lakukan tidak tersasar jauh dari matlamat asal yang telah ditetapkan. Mana-mana yang sukar dan masih tidak dapat diselesaikan kena beri perhatian juga untuk membantu agar segala permasalahan diberi jalan penyelesaiannya. Jangan dibiarkan mereka terkontal-kantil pening bersendirian memendam rasa untuk mencari jalan penyelesaiannya. Kerana itu hubungan komunikasi dua hala amat diperlukan walaupun apa pun masalah dan dugaan yang menimpa dan mendatang.  


Berhubung dengan manusia memerlukan kefahaman yang baik akan hati dan perasaannya. Bukan seperti bermain dengan angka yang betul-betul mengharapkan prestasi akan apa yang kita lakukan. Bila menyebut hati dan perasaan bermakna memahami dan menjaga dengan amat baik sekali amat diperlukan. Selagi jalinan perhubungan yang baik termateri dan terjalin selagi itulah mode melakukan tugasan jualan pasti berkobar dan dahagakan kejayaan sentiasa.
Read more >>