Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 4 September 2012

Perlu lakukan secara agresif



Agresif dalam melakukan jualan amat dituntut. Bertindak segera dan pantas mengetahui segala peluang yang ada perlu dilakukan. Mungkin kerana kita ini orang Melayu amat mudah kasihan belas. Dalam jualan, tindakan cepat perlu dilakukan. Jangan difikirkan kasihan atau tidak. Tidak kiralah rakan sekerja kita atau pesaing dalam pasaran, segera dalam melakukan tindakan amat di perlukan. Bila dah lepas apa yang kita telah peroleh dan dapati kalau nak tolong orang pada masa itu bolehlah dilakukan. Apa yang penting dahulukan keperluan pada diri kita terlebih dahulu.

Adalah lebih parah dan menjadi tersangat sengsara andai kata hanya kerana tindakan kita yang agak perlahan dan tidak dapat mengatasi tindakan orang lain, kita akan lebih mudah merasa lemah dan terkulai begitu sahaja di tengah jalan. Umpama orang menyertai larian lumba lari 100 meter, semua mata akan bertumpu kepada pemenang sahaja dan bukan kepada orang yang di tewaskan. Bila kita telah lemah, maka akan bermulalah timbul pelbagai sikap-sikap yang negatif seperti putus asa, kekecewaan, mudah marah, berdengki dan sedih akan berlaku sewenang-wenangnya.

Oleh itu, jangan di tangguh lagi tindakan kita. Bertindak segera. Ini adalah kerana

i.                    Produktiviti
Lebih cepat kita bertindak, bermakna setiap oportuniti yang ada amat sukar untuk kita lepaskan. Genggamkan dahulu peluang yang ada walaupun ia nya mungkin berada jauh di hadapan mata. Sesaat kita menangguhkannya seribu penyesalan pula akan wujud. Elakkan dan jauhkannya supaya tidak menjadi trauma pada diri kita. Lagi cepat tindakan kita lagi banyak hasil yang boleh kita ciptakan. Bila hasil telah menjadi banyak bermakna semakin tinggi harapan kita memenuhi sasaran yang diberikan apa tah lagi memperoleh komisen yang tinggi. Barulah orang akan nampak yang kita benar-benar penjual yang produktif namanya.

ii.                  Sikap malas akan terhindar
Tiada siapa yang hendak berkawan dan merapatkan diri dengan kita andai kata mereka mengetahui yang kita ini adalah seorang yang malas. Itu baru rakan, kalau prospek/pelanggan tahu lagi haru. Memang sah mereka tidak akan mahu berurusan dengan kita. Dah jadi orang malas, pasti akan di cop sebagai seorang yang SLOW dan lemah untuk membantu mereka merealisasikan apa yang mereka kehendaki. Kita buang jauh-jauh sikap ini. Jangan terlalu dibiarkan. Nanti karier kita sendiri juga yang akan tercalar. Berubah segera.

iii.                Akan lebih dipercayai
Hanya kerana kita segera bertindak untuk ambil berat menghidu peluang yang ada sudah pasti pihak pengurusan, rakan-rakan dan prospek/pelanggan akan lebihi mudah percaya kepada kita. Jangan lepaskan peluang ini. Sekali orang dah mula percayakan diri kita jangan sama sekali di musnahkan. Jaga ia dengan sebaik mungkin kerana walaupun hanya sekali sahaja kita memungkiri kepercayaan tersebut, sampai bila-bila pun orang tidak akan percaya lagi kepada kita. Tunaikan dan buktikan yang kita sentiasa boleh melakukan dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.

iv.                 Bersemangat
Tanpa memikirkan apa-apa juga halangan, dugaan dan rintangan yang mendatang kita tetap akan mahu melakukan tugasan tersebut. bersemangat sepanjang masa demi mencapai apa yang kita mahukan. Ujian yang diberikan oleh Allah pelbagai bentuk dan cara yang sentiasa di uji kepada kita sama ada kita sabar atau tidak untuk menempuhnya. Yang penting lakukan dengan sebaik yang mungkin bantu dan tolong seramai yang boleh bagi menggunakan produk yang ditawarkan tanpa merasa diri kita ini terbeban ataupun tidak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Berlumbalah (bersegeralah) untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah." (Diriwayatkan oleh Muslim )

Jangan tangguh lagi, Rasulullah pun telah menyuruh kita untuk melakukannya. Hanya orang-orang yang lemah sahaja tidak mahu melakukannya. Tinggalkan perkara tersebut. Jadilah orang yang sentiasa proaktif dan segera melakukan tugasan tanpa perlu berbelah bagi melakukan kerja yang mesti dilakukan demi memperoleh rezeki yang halal hasil jualan kita sendiri lakukan. Mohon pada Allah agar sentiasa membantu kita dalam apa juga keadaan dan suasana yang di hadapi. Mohon di per mudahkan dan jangan sama sekali disukarkan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kita mahukan dan lakukan. Sentiasa berserah diri kepada Allah yang Maha Esa.

Read more >>

Isnin, 3 September 2012

Pabila Bercakap


Salah satu tindakan yang harus dibimbangkan ketika melakukan jualan adalah masalah dalam komunikasi. Sering orang yang melakukan jualan menggunakan masa yang ada padanya hanya melalui satu hala sahaja. Beri penerangan, beri sebabnya dan beri kelebihannya kenapa produk yang di jual perlu diterima oleh prospek/pelanggan yang berada dihadapannya. Tiada langsung harapan untuk komunikasi dua hala berlaku dan terjadi. Amat mementingkan apa yang dilakukan diterima bulat-bulat oleh prospek/pelanggan yang berada di hadapannya.

Elakkan ia berlarutan sebegini. Kerana itu kita di saran banyakkan mendengar dari bercakap. Beri peluang sepenuhnya kepada mereka menceritakan dan meluahkan. Sebab sebenarnya  apa masalah yang di tanggungnya dan apa yang diperlukannya supaya kita lebih mudah dan fokus produk apa yang terbaik untuk kita berikan kepada mereka. Sebelum mereka bercakap, kita yang perlu memulakannya terlebih dahulu. Kita yang berkehendakkan kepada mereka, jadi kena kitalah yang memulakan komunikasi. Lakukan dengan sebaik mungkin agar tiada nanti semasa pertemuan tersebut kegagalan komunikasi terjadi dan hilang begitu sahaja.

Apa yang perlu kita lakukan bagi memastikan tiada kegagalan berlaku dan terjadi adalah dengan cara

i.                    Bertenang sentiasa
Jangan kelam kabut. Jangan menggelabah. Jangan ada risau yang amat sangat walaupun kerisauan tersebut sememangnya ada. Perlu ada ketenangan. Bila dah tenang kita semakin yakin untuk berkomunikasi. Yakin tapi tiada ketenangan akan menyebabkan apa yang ingin kita sampaikan agak sukar dan memayahkan. Tenang juga akan memberikan kita lebih inspirasi terhadap diri kita dalam mengeluarkan idea dan pendapat di hadapan prospek nanti.

ii.                  Lakarkan gambaran apa yang ingin disampaikan
Umpama seorang pelukis memberikan gambarannya melalui lukisannya begitulah kita yang melakukan jualan. Beri gambaran terlebih dahulu apa yang ada pada produk kita dan apa tujuan sebenarnya kita hadir di hadapan mereka. Kefahaman awal amat diperlukan agar prospek yang ditemui tahu dan faham apa yang ingin kita sampaikan.

iii.                Gunakan perkataan-perkataan yang boleh menarik minat
Berhemah dan bersopan santun. Inilah adab Islam dan Melayu yang perlu kita kekalkan. Gunakan perkataan-perkataan yang mudah menyentuh hati dan perasaan seseorang seperti minta tolong, mohon kemaafan, maaf mengganggu dan sebagainya yang mungkin dirasakan mereka yang bertemu dengan kita cukup senang  dan ceria dengan kehadiran diri kita. Selagi kita berlemah lembut dan bersopan santun selagi itulah prospek/pelanggan akan sentiasa berlembut juga dengan kita.

iv.                 Pastikan ianya jelas, ringkas dan padat
Tak guna cakap yang panjang-panjang dan berjela-jela. Nanti boring pula mereka untuk mendengarnya apa tah lagi untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Nyatakan secara bersahaja dengan jelas, ringkas dan padat agar mereka yang berada di hadapan kita tahu dan fahami akan apa yang ingin kita sampaikan dan mahukan. Jangan berasa bimbang dan takut kerana semakin kita amalkan semakin ia nya sebati dengan tugasan kita. Semakin lama kita lakukan semakin handal kita memberi penerangan yang terbaik buat prospek/pelanggan yang mendengar dan memerhatikan kehadiran kita.

Semuanya memerlukan latihan demi latihan. Nak dapatkan latihan yang mantap dan berkesan kena dalami ilmunya dahulu. Tak perlu berguru membayar ribuan ringgit menghadiri kelas-kelas yang profesional hanya sekadar membawa berbincang dengan rakan sekerja dan dari orang yang telah berjaya melakukannya. Ada ilmu kena amalkan. Teruskan latihan demi latihan, dan sebaik rakan latihan adalah rakan sekerja kita sendiri. Kalau tidak pun mungkin di hadapan cermin juga boleh dipraktikkan cumanya apabila di hadapan cermin belajar mengawal mimik muka boleh di kenal pasti tetapi segala kesilapan dan gaya kita bercakap tiada sesiapapun yang dapat menegurnya. Jadi gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk perbetulkan dan per elokkan lagi segala gaya dan cara komunikasi kita dengan sebaik yang mungkin.
Read more >>

Ahad, 2 September 2012

HINDARI PENIPUAN DALAM MELAKUKAN JUALAN


Atasilah dengan sebaik mungkin. Ingat pepatah orang Melayu ‘Kerana santan pulut binasa, kerana mulut badan binasa’. Jangan dengar apa orang kata atau mudah terpengaruh dengan apa yang orang lain perkatakan tentang diri kita.dimana ada kemahuan pasti di situ ada jalannya. Teruskan sahaja. Selagi tindakan kita itu betul sudah pasti lambat laun perkara yang kita inginkan pasti berlaku dengan betul jugak. Oleh itu jauhkanlah dan hindarilah ia sama sekali dengan cara



i.                    Fikirkan ia satu tanggungjawab dan amanah
Tugasan yang diberikan oleh majikan adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan dilaksanakan. Tiada kompromi tapi mesti dilakukan. Merasai ia satu beban kerja dan tugasan yang mesti dipikul seberat mana sekalipun atau seringan mana sekalipun ia nya mesti dilaksanakan. Tiada sebarang alasan atau sebab untuk diberikan. Melakukannya secara jujur dan ikhlas mengikut prosedur dan garis panduan yang diberikan perlu dipatuhi. Jangan tunjuk handal dan pandai kerana dikhuatiri nanti pada suatu hari nanti apa yang kita lakukan perkara tersebut adalah salah dan tidak betul sama sekali.

ii.                  Fikirkan karier dan masa hadapan
Inilah periuk nasi kita. Asyik takut orang lain yang menabur pasir dalam periuk nasi rupa-rupannya kita sendiri yang melakukannya. Elakkan ia. Perbaiki nawaitu dan yang pasti tiada jalan pintas dan cepat untuk mendaki jalan kejayaan dengan begitu mudah dan senang sama sekali. Berazamlah untuk melakukan dengan bersungguh-sungguh dan tabah sentiasa untuk menghadapi segala rintangan, dugaan dan cabaran dengan hati yang terbuka. Insya-Allah, Allah akan sentiasa membantu orang-orang yang sentiasa jujur dalam tindakannya sentiasa.

iii.                Lebih bekerjasama dan bantu-membantu sesama sendiri
Lebih baik bekerjasama dengan bantu-membantu sesama rakan setugas dari bekerja dan bertugas secara berseorangan. Melakukan jualan adalah lebih terserlah jika dilakukan dengan cara secara berkumpulan dari berseorangan. Hindari diri dari tamak dan pentingkan diri sendiri kerana peluang akan lebih banyak terhidang dan terbuka jika kita bergerak dalam satu kumpulan. Kerana itulah kita amat dituntut melakukan solat berjemaah dari solat berseorangan diri.

iv.                 Kita adalah orang Islam
Orang Islam amat di cegah melakukan penipuan dan pembohongan kepada siapa juga yang kita temui dan berkawan. Islam tidak menggalakkan kita menjadi seorang yang menipu dan berbohong hanya semata-mata untuk kepentingan diri kita sendiri. Elakkan ia supaya tidak sama sekali menjadi sebagai darah daging kita sendiri. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan ku” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah)

Fikirlah dahulu sebelum melakukan apa-apa tindakan yang sebenarnya. Jangan kerana inginkan kejayaan yang singkat dan cepat kita melakukannya dengan tidak berfikir panjang. Elakkan dari mendapat malu hanya kerana kita seorang yang suka menipu dan berbohong. Mulut orang bukan boleh ditutup dan ia nya boleh tersebar dengan cepat dan segeranya tanpa kita sedari. Bila orang dah tak percayakan diri kita hanya kerana kita suka menipu dan berbohong, bagaimana kita hendak lakukan jualan?
Read more >>

Sabtu, 1 September 2012

MENJAMU ATAU DI JAMU


Sempena kedatangan bulan Syawal ini, jemputan menghadiri Rumah Terbuka semacam sudah menjadi satu kemestian kepada kita semua baik oleh pihak persendirian, orang yang berniaga, Jabatan-jabatan kerajaan mahupun pihak korporat masing-masing berlumba-lumba untuk menganjurkan satu program makan-makan besar sempena kedatangan dan kehadiran Aidil Fitri. Maklumlah puasa sebulan Hari Raya pun kena sebulan juga.  Masing-masing begitu sibuk bukan sahaja mempamerkan juadah yang di tawarkan tetapi juga suasana hiasan sekeliling dan etika berpakaian masih menonjolkan kehadiran Aidil Fitri.

Adanya program Rumah terbuka ini amat baik dan positif sekali kita pergunakan bagi melakukan jualan dan war-war kan tentang segala produk yang ada dan memastikan ianya dapat di manfaatkan sebaik mungkin DENGAN cara

i.                    Jalinan Silaturahim
Sebagai satu medan yang perlu kita lakukan menjalinkan hubungan jalinan persahabatan, persaudaraan dan ukhuwah sesama kita. Apabila adanya jalinan seperti ini dapat di manfaatkan bagi memudahkan lagi segala urusan jualan kita sendiri kepada mereka hanya semata-mata kita rapat dan mula memberikan keyakinan kepercayaan kepada diri kita sendiri. Orang kalau dah mula yakin dengan seseorang, minta tolong apa pun juga akan menjadi mudah dan senang.

ii.                  Amal jariah
Antara perkara yang di tuntut dalam Islam adalah bersedekah dan melakukan amal jariah kepada orang lain sama ada orang tersebut kita suka atau tidak. Satu kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain bermakna sepuluh ganjaran yang akan Allah balas semula kepada kita. Dengan melakukan amal jariah dengan syarat bukan untuk tunjuk menunjuk  dan membanggakan diri kepada orang lain, kita anjurkan satu rumah terbuka dengan memberikan menjamu selera kepada orang ramai dan pelanggan kita, semakin menambahkan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada kita.

iii.                Promosi mudah
Pergunakan segala kemudahan yang ada sama ada kita menganjurkan rumah terbuka atau kita sendiri menghadiri jamuan rumah terbuka. Lakukan hebahan mulut dan buka mulut kita sentiasa memaklumkan apa produk-produk kita dan kelebihan produk kita yang di rasakan dapat memikat dan menambat hati si pendengar. Elakkan duduk dan makan bersama rakan sekerja kita sendiri tetapi galakkan diri kita untuk bercampur dengan orang yang tidak kita kenali lagi ataupun pelanggan rapat kita. Lagi banyak kita lakukan promosi lagi mudah tugasan kita untuk menuai hasilnya.

iv.                 Ambil kesempatan
Jangan lepaskan peluang. Ayat mudah untuk diingati. Lakukan jualan secara berhemah, tak kiralah kalau kita berkunjung atau di kunjungi di tempat kita. Sambil menjamu selera, tanyakan keperluan dan kehendak mereka bagi memudahkan kita menceritakan kesesuaian produk kita kepada mereka yang kita tanyakan terlebih dahulu. Tunjukkan jalan penyelesaian kepada mereka dan bantu mereka menyelesaikan masalah mereka tanpa mereka merasakan kesukaran dan kepayahan apabila mereka menerima nanti tawaran dari kita. Ambil berat setiap apa yang mereka perkatakan setelah kita yang memulakan dahulu BUKA MULUT kita kepada mereka. Yang penting kita bukan meminta-minta dan memohon simpati tetapi kita sebenarnya membantu mereka untuk merealisasikan apa yang mereka cari selama ini yang masih mereka belum temui lagi setakat ini. Lagi senang untuk menceritakan di masa ini tanpa formaliti di waktu pejabat atau premis pelanggan.

Ingatlah, hanya ada satu perkara sahaja di dalam dunia ini kehidupan kita yang boleh dan dapat di capai serta di peroleh TANPA perlu berusaha iaitu kegagalan. Jangan sampai kegagalan menjadi sifu dalam kehidupan kita. Berusaha untuk memajukan diri dan pandai mengambil oportuniti yang ada sahaja dapat menjamin kejayaan karier kita. Jualan bukan semestinya di tetapkan pada satu-satu lokasi sahaja tetapi jualan sebenarnya di mana juga kita berada di mana juga kita nyatakan kepada orang di situlah jualan akan bermula. Tidak kira tempat, tidak kira masa, tidak kira siapa dan tidak kira tenaga kita bebas untuk bercakap terus bercakap tentang produk dan jualan kita sendiri tanpa perlu ada permit dan kebenaran dari sesiapapun juga.
Read more >>